Rabu, 2 Mei 2012

HIDUP ADALAH SATU PILIHAN

Hidup adalah satu pilihan... Ya, dalam setiap urusan seharian yang kita lakukan menuntut kita untuk membuat pilihan dan akhirnya keputusan. Hatta ingin makan sekalipun kita perlu memilih menu yang bertepatan dengan selera dan akhirnya membuat keputusan untuk membeli makanan tersebut. Kita juga perlu pilih ikan,ayam dan sebagainya setiap kali ke pasar dan semestinya ikan @ ayam yang segar menjadi pilihan walaupun harganya mahal sedikit. Ada orang yang gemar memilih barang-barang yang mahal kerana katanya barang tersebut mampu digunakan berulang kali dalam tempoh yang lama. Tidak mengapa berbelanja lebih asalkan barang yang diperoleh berkualiti. Begitulah kehidupan, adakalanya kita mudah sekali untuk membuat pilihan dan ada ketikanya kita akan berada di persimpangan dilema untuk membuat pilihan dan keputusan. Rasa bersalah, keliru, bingung dan macam-macam lagi akan bersarang di kepala dan benak hati. Apatah lagi pilihan & keputusan yang dibuat melibatkan soal masa depan, antara hidup dan mati serta perasaan orang di sekeliling. Ya, memang berat dan sangat rumit. Namun kita tiada pilihan lain selain terpaksa membuat pilihan walaupun adakalanya bukan dengan kerelaan hati sendiri. Dan adakalanya pilihan tersebut akan melukakan hati orang di sekeliling kita. Ibarat ditelan mati emak diluah mati bapak. Mendengar rungutan dari kawan-kawan yang masih belum bertemu jodoh yang sesuai membuatkan aku tersenyum sendiri. "Hang ingat nak pilih suami tu macam pilih baju ka? macam pilih ikan kat market?" Itulah ayat klise yang sering kita dengar. Ya, memang bukan semudah itu. Tapi bukankah kita diberi panduan bagaimana untuk menetapkan hati yang tatkala itu dalam dilema? salah satunya melalui Istikharah. Namun, ada juga caranya yang betul untuk melakukan solat Iatikharah. Banyak lagi panduan lain selain berdoa dan mohon petunjuk. Kita takut untuk membuat pilihan kerana jika tersalah pilih, takut akan menyesal sepanjang hayat. Apa pun keputusan yang telah diambil, jangan sesekali menyalahkan diri sendiri dan takdir. Jika tersalah pilih, terima ianya sebagai suatu pengajaran dan ambil iktibar dari kesalahan tersebut. Setiap orang sentiasa inginkan yang terbaik dalam hidupnya namun tak semua pilihan yang kita buat adalah tepat namun anggaplah ianya sebagai takdir dan ketetapan Ilahi. Semakin kita dewasa, kita akan belajar banyak perkara yang benar-benar mematangkan fikiran. Sedikit sebanyak kita akan belajar akan hakikat kehidupan sebenar. Kenangan akan tetap menjadi kenangan. Kita tak boleh ubah masa lalu, sekaligus kita mengubah apa-apa pilihan yang pernah dibuat dulu. Namun kita ada pilihan sekarang iaitu pilih sama ada untuk terus dibayangi kisah silam atau hidup dalam masa hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan